Siapa tidak akan benci apabila
diberi gelaran yang kita tidak suka. Macam-macam gelaran yang kita 'terima'. Hodoh, muka buruk, pemalas,
sombong, dengki, lembab, kuat merajuk, katak, penguin, tikus, pendek, gemuk, boroi
dan pelbagai lagi. Tapi boleh lagi kita beri toleransi untuk sebahagian
perkataan tadi, mungkin atas sebab 'menghampiri' sifat yang ada pada diri,
walaupun tidak semua yang bersifat terbuka. Saya tekankan perkataan
"sebahagian", biar jelas.
Bagaimana pula jika 'sifat' yang
terpalit pada kita itu adalah kerana satu kegagalan yang kita hadapi? Walaupun
mungkin ianya menepati diri kita sendiri, sekali dua mungkin kita boleh terima.
Tapi jika sehingga berabad lama panggilan itu ditujukan kepada empunya diri,
pasti akan menyentuh hati kecil kita. Benci!
"Woi, budak gagal"
"Ek eleh, dapat E, ko tengok
aku, A siot"
"Dah terhantuk baru nak
tergadah, baru padan muka kau"
Pantang sungguh bila diri digelar
'si gagal' oleh orang lain. Mau tidaknya, bukan hari-hari kita gagal.
Entah-entah untuk isu itu hanya sekali sahaja kita rasai. Jadi, buat apa perlu
saya hairankan kalau mendapat sekali dua kegagalan dalam mata pelajaran sebagai
contoh. Adakah ianya merangkumi kegagalan diri saya sendiri dalam seluruh
kehidupan?
Jika setiap kegagalan yang kita
rasai dan cuba memperbesarkan cerita mengenainya, akan banyak perkara yang
tidak akan dapat kita kuasai. Cuba kita
analogikan dengan situasi ini;
Hanya sebab gagal membuka pintu
dengan satu kunci, kita terus kecewa dan
tidak mahu keluar/masuk rumah.
Hanya kerana internet down kita
terus berhenti melayari internet selamanya
(ye ke?!) atau;
Satu petikan dalam journal kita
tidak fahami, kita terus tutup buku dan tidak mahu mengulangkaji lagi.
Bukankah ianya merugikan kita. Hanya
kerana gagal satu perkara kita terus menamatkan percubaan kita. Kita biarkan
kegagalan menguasai diri kita. Atau hanya kerana emosi kita manjakan, kita
berubah ke tahap yang lebih merugikan. Umpama kita menjadi begitu emosi hanya
kerana zip baju tersangkut, sehingga terus tidak ingin lagi memakai baju untuk
selama-lamanya?
Zip baju tersangkut pun satu
kegagalan jugakan? Kegagalan kita untuk teruskan usaha membetulkan kesilapan,
jika ianya dibiarkan terus gagal. Kalau semua hal ini kita gagal laksanakan dengan
baik (tak semestinya sempurna), maka hidup kita gagal. Adakah ini suatu
konklusi dalam hidup seorang manusia yang normal? Justeru, jadikan kegagalan
itu sebagai peransang diri kita untuk menjadi lebih baik lagi.
Kuasai Kegagalan Dengan
Tindakan
Ingat filem 'Pendekar Bujang
Lapok' babak baca mantera yang merepek tu? Cobaan...
Tolak tepilah sketsa khurafat
'mantera mambang' yang disebut itu. Apa yang baik dalam babak itu sekadar ingin
mengaitkan dengan cubaan yang kita hadapi semata-mata. Jika kita asyik
mengungkapkan 'ini dugaan, ini cubaan, ini bala yang menimpa' tanpa ada usaha
selepas itu, maka kita akan ulangi 'Cubaan' yang sama hingga selesai. Bukankah
apa yang kita ungkapkan itu juga suatu doa?
Kuasailah kegagalan yang kita
hadapi dengan tindakan yang positif. Bukan hanya meluahkan apa yang berlaku
hanya semata-mata ingin menyedapkan hati dan diri sendiri. Tidak salah
menyenangkan atau memujuk diri asbab kegagalan yang ada, namun yang menjadi
silapnya apabila diri hanya sekadar banyak 'berkata' tetapi kurang
'tindakannya'
Ingatlah, diri kita tidak akan
berubah hanya dengan perkataan, tetapi perubahan itu akan berlaku hanya dengan
tindakan. (Hakikatnya segalanya dari Allah)
Jangan salahkan semuanya pada
takdir, kerana kita seolah-olah mencabar kuasa Allah SWT. Kita lupa ayat Allah
di dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3
"Patutkah manusia menyangka
bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman",
sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami
telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian
yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang
sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang
orang-orang yang berdusta."
Semakin tinggi darjat dugaan yang
menimpanya, dan kemudian kita bersabar, nescaya dalam keadaan 'kemurungan' yang
dia hadapai ketika itu, Allah angkat darjatnya menghampiri Diri-Nya Yang Maha
Agung atas sifat sabar yang ditunjukkan.
"Dan demi sesungguhnya! Kami
tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata
pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu
dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga)
Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan
kamu."
(Surah Muhammad ayat 1-31)
"Jadilah Diri
Sendiri"
Zaman sekolah saya dulu, saya
selalu dengar lagu "Jika Kau Fikir Kau Boleh" berkumandang di
televisyen dan radio. Seronok sebab zaman itu, Dr Mahathir terapkan cogan kata
'Malaysia Boleh' dan impaknya pada suasana sekitaran saya cukup jelas. Di
sebalik putaran lagu ini, Malaysia dapat bina Bangunan Kembar Petronas, Sukan
Komenwel, Inflasi Sifar, daki Gunung Everest dan lain-lain.
Pada saya layak beliau digelar
Bapa Pemodenan atas usaha beliau mengubah pemikiran Rakyat Malaysia pada ketika
itu. Bila ada saja kegagalan di sekolah, mesti ada kawan yang akan nyanyikan
pada saya lagu ini. Sedikit pun tidak ada rasa berlagak memanjang atas
pencapaian yang mereka dapat.
Demikianlah diri kita sendiri,
jika kegagalan yang kita perolehi, jadilah diri sendiri. Maksud jadilah diri
sendiri adalah bergantung kepada apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Jika
kita merasakan diri kita gagal buat selama-lamanya maka kita akan berada di
tempat itu buat masa yang lama. Namun, sekiranya kita juga mampu menjadi
seperti rakan-rakan kita yang berjaya, berfikir bahawa kita juga boleh seperti
mereka maka kita akan berubah dari setapak ke setapak yang membanggakan tanpa
kita menyedarinya.
Ya, kita mampu berubah dan
berjaya seperti orang lain. Jadilah diri anda sendiri yang mana anda sendiri
yang menentukan diri anda sendiri. Runtuhkan tempoh "Tidak Boleh" dan
binalah keyakinan bahawa anda juga mampu untuk berjaya.
Jatuh Bangun Semula
Biar sembilan kali jatuh, kita
tetap akan berdiri untuk kali yang ke sepuluh. Jika anda labelkan diri anda
gagal, maka label itu kekal milik anda sedangkan orang lain tidak akan tahu
anda pernah gagal biar berkali-kali pun, asalkan anda terus berdiri dan maju kehadapan.
Ingatlah, dengan melabelkan diri anda gagal, maka selagimana anda masih
mengenang kembali memori lampau, selamai itu 'Kegagalan' akan terus menghantui
anda.
Mungkin anda berfikir sepertimana
ungkapan ini 'barang yang lepas jangan
dikenang'. Tidak salah untuk merenung kegagalan semalam, namun selidik dan
renungkan kegagalan untuk perbaiki diri agar menjadi lebih baik dari semalam.
Hilangkan punca yang memungkinkan kitaran itu berulang untuk kali yang
seterusnya. Untuk setiap kali gagal, kita akan tahu cara yang betul untuk
laksanakan sesuatu. Jadi apa yang ruginya jika dapat ketahui cara terbaik untuk
diri kita sendiri?
Fikir kembali apa peluang yang
telah Allah berikan pada kita. Allah membuka luas jalan untuk kita berjaya.
Hanya kita sahaja ingin melaluinya atau sebaliknya.
"Maka dengan sebab rahmat
(yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah
bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan
kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari
kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan
terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan
mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau
telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah
kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal
kepadaNya."
(Surah Ali Imran ayat 159)
Buang sifat prasangka dalam diri
bahawa kegagalan itu punca dari orang lain. Salahkan diri sendiri sebabnya,
kita lebih tahu tentang diri kita, kekuatan kita, kelemahan kita. 24 jam sehari
7 hari seminggu dengan diri sendiri, jangankan sebab kentut sendiri busuk kita
salahkan orang lain.
Betul ke apa yang aku buat
sekarang ini?
Sebagai manusia biasa, kita tak
berkuasa untuk tentukan apa yang akan berlaku pada diri. Itu semua ketentuan
Allah SWT. Apa yang mampu kita buat hanyalah berusaha sebaik mungkin kerana
Allah yang Sebaik-baik Perancang.

No comments:
Post a Comment